LATAR BELAKANG & SEJARAH PONDOK
Madrasah Ad-Diniah Al-Ismailliyyah Lembah Gondang atau lebih dikenali sebagai Pondok Gondang, di atas tanah yang berukuran 9.6 ekar yang terletak di mukim Bukit Payong. Ianya diasaskan oleh Al-Fadhil Ustaz Ishak Bin Ismail pada februari 2018. Tanah ini yang bernilai 380 ribu ringgit Malaysia dapat dibeli oleh beliau dengan berkat bantuan derma dan sumbangan dari orang ramai pada tiga tahun yang lalu.
Dapat dilihat pada nama madrasah ini, terukir nama ayahanda beliau yang bernama Ismail bin Abdullah. Ini kerana ayahanda beliau merupakan seorang lepasan Madrasah Ad-Diniah Al-Bakriah (Pondok Pasir Tumboh, Kota Bharu, Kelantan). Jadi tidak hairan mengapa beliau membangsakan madrasah ini dengan nama ayahanda beliau, oleh kerana ingin mengambil keberkatan dengan menisbahkan nama pondok kepada nama ayahanda beliau.
Sejak madrasah ini dibina, dapat dilihat perubahan yang ketara atas berkat usaha Ustaz Ishak sendiri yang gigih mengukuhkan asas pembangunan madrasah ini. Pada awal pembinaan madrasah ini, ia lebih mendorong kepada sistem pondok lama. Hal ini dapat dilihat dari segi pembinaan pondok-pondok kayu yang sudah asing dimata remaja zaman ini. Namun kini, madrasah ini berubah kepada pembangunan yang lebih moden dengan pembinaan tempat kediaman pelajar yang berasaskan konkrit. Pelajar yang menuntut di madrasah,pada bulan Januari 2023 adalah seramai 96 orang.